fbpx

18 Januari 2021, 5:54 pm

  TERKINI

Polis kejar suspek lolos ‘snap check’ sejauh 30 kilometer

KERETA suspek yang ditahan polis selepas cuba melarikan diri dari pemeriksaan 'snap check' di Behrang dekat Tanjung Malim, Perak semalam. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Polis mengejar seorang lelaki yang memandu keretanya setelah meloloskan diri semasa pemeriksaan ‘snap check’ sejauh 30 kilometer sebelum berjaya ditangkap di hadapan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira itu pada mulanya ditahan dalam sekatan yang diadakan di Jalan Kuala Slim pada pukul 1.45 petang.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, suspek telah memecut laju keretanya ke arah pekan Slim River.

“Pasukan polis dengan dibantu unit kereta peronda polis (MPV) telah mengejar suspek sehingga hadapan politeknik di Behrang. 

“Dalam kejadian tersebut, seorang anggota MPV telah memberi amaran supaya suspek memberhentikan kenderaannya namun enggan dan terus memecut laju hingga cuba melanggar anggota tersebut.

“Tindakan suspek yang membahayakan itu mengakibatkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan sebelum dia berjaya ditahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan dalam kenderaan suspek menjumpai satu beg galas yang mengandungi plastik lutsinar dipercayai untuk membungkus dadah.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai empat kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga positif dadah jenis methampthetamine. 

“Suspek direman lima hari bermula hari ini hingga Isnin ini untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN