PKPB: Peniaga rayu tidak tutup Gerbang Malam - Utusan Malaysia

PKPB: Peniaga rayu tidak tutup Gerbang Malam

SUASANA Gerbang Malam di Bagan Serai yang agak lengang berikutan kurang pelanggan ketika tinjauan di sini semalam. - UTUSAN/ WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seramai 36 peniaga Gerbang Malam di Dataran Bagan Serai, di sini merayu pihak berkuasa supaya tidak menutup pusat perniagaan itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Peniaga berkata, perniagaan di situ adalah punca rezeki mereka dan kehilangan mata pencarian jika ditutup.

Seorang peniaga tudung, Nazri Mohamed, 53, berkata, dia dibantu isteri dan anaknya menjalankan perniagaan di Gerbang Malam dan pasar di sekitar daerah Kerian sebagai sumber rezeki keluarga.

“Jika Gerbang Malam dan pasar-pasar minggu ditutup sepanjang PKPB, di mana saya nak berniaga? Semasa pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) Mac lalu, kami hilang pendapatan sebab tak dibenarkan berniaga.

“Kami tak mahu sekali lagi melalui saat sukar seperti PKP yang mana tiada pendapatan langsung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Lebih membimbangkan, kata Nazri, dia disahkan menghidap penyakit berkaitan tulang pada April lalu dan telah menjalani pembedahan.

Menurutnya, dia juga perlu mejelaskan hutang dengan hospital dan perlu dijelaskan.

“Jika dalam tempoh PKPB kami tidak dibenarkan berniaga, bagaimana nasib keluarga saya jika sekali lagi hilang pendapatan?,” soalnya.

Peniaga pakaian, Mohd. Hisham Saari, 32, pula berkata, peniaga kecil sepertinya baru sahaja pulih daripada kesukaran selepas PKP.

Menurutnya, bukan mudah bagi peniaga kecil untuk membangunkan semula perniagaan yang terjejas akibat pelaksanaan perintah berkenaan kerana memerlukan modal pusingan untuk kembali stabil.

“Sekiranya ditutup disebabkan PKPB, tidak tahu kepada siapa kami nak mengadu,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Nazrul Mohd. Fadzil, 37, berkata, kawasan di sekitar Bagan Serai turut terjejas berikutan pelaksanaan PKPB yang dilaksanakan di Mukim Parit Buntar, baru-baru.

Menurutnya, ia menyebabkan pengunjung Gerbang Malam di sini berkurangan.

“Kami sedia mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) asalkan tempat kami berniaga tidak ditutup sepanjang PKPB,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya