PKN Shah Alam buat laporan polis terhadap Steven

Dana RM8.6 juta: PKN Shah Alam buat laporan polis terhadap Steven

ROSDIN Mohd.Yusup (tengah) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Steven Chaw di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penggerak Komuniti Negara (PKN) Parlimen Shah Alam hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda DAP Perak, Steven Chaw berhubung dakwaan pertubuhan itu menerima dana sebanyak RM8.6 juta.

Timbalan Pengerusi PKN Parlimen Shah Alam, Datuk Rosdin Mohd.Yusup berkata, laporan polis itu dibuat sebagai tindak balas laporan dibuat Steven berkaitan dana itu pada 12 November lalu.

Menurut Rosdin, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya tohmahan, fitnah dan laporan polis tersebut yang jelas mengandungi fakta palsu.

“Laporan polis yang dibuat Steven dan disiarkan sebuah portal ini membawa maksud sejumlah RM8.6 juta dana disalurkan kepada PKN.

“Laporan tersebut turut membawa maksud setiap seorang ahli jawatankuasa PKN akan mendapat RM780,000. Dakwaan yang dibuat Steven adalah tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini hari ini.

Terdahulu, Steven bersama pucuk pimpinan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak serta Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis berhubung dana RM8.6juta kepada pertubuhan tersebut.

Menerusi laporan tersebut, Steven mendakwa dana itu kemudian diagihkan kepada 11 orang ahli jawatankuasa dengan setiap seorang menerima RM780,000.

Mengulas lanjut, Rosdin berkata, PKN tidak pernah menerima dana seperti yang didakwa kerana semua aktivis PKN tidak menerima sebarang gaji.

“Semua aktiviti yang dilakukan adalah atas dasar ihsan dan semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan ahli demi membantu komuniti khususnya yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat mengekang pandemik Covid-19.

“Kita sedang mengumpul kesemua bukti sebaran fitnah seperti yang dinyatakan di atas dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut demi membersihkan nama daripada fitnah dan tohmahan,” katanya.

Untuk rekod, semalam Pengerusi PKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nor Hizwan Ahmad telah membuat laporan polis membabitkan isu yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN