PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dengan mengerakkan kira-kira 500 anggota daripada pelbagai unit bagi mempertahankan sempadan negara.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, selain 314 kekuatan daripada Batalion 3 yang sedia ada melakukan kawalan, pihaknya turut menggerakkan unit berkuda melibatkan empat ekor kuda, unit udara, unit kereta perisai sebanyak tiga unit dan mendapat bantuan daripada anggota 69 Komando (VAT69).
Katanya, PGA turut menggerakkan unit elitnya, Tiger Platoon dari Batalion 1 yang dijangka tiba di Perlis hari ini untuk membuat rondaan pembersihan di lokasi kejadian tembakan yang mengorbankan seorang anggotanya berhampiran pos TS9 kelmarin.
“Tiger Platoon akan memulakan tugas mereka hari ini untuk membuat pembersihan di kawasan kejadian sehingga esok. Di samping itu, satu lagi pasukan persenjataan juga akan tiba hari ini untuk mengesan senjata di kawasan terbabit.
“Kawasan liputan kawalan kami meliputi keluasan kira-kira 106 kilometer iaitu sepanjang Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Bukit Batu Putih, Kuala Perlis. Saya juga telah mengarahkan anggota yang membuat pemeriksaan untuk tidak berseorangan dan sentiasa bersama rakan sepasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di pos PB11 dekat sini semalam.
Dalam kejadian 2.30 pagi kelmarin, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9.
Dalam pada itu, Abdul Ghani memberitahu, cubaan untuk menyeludup ketum didapati masih berlaku walaupun kawalan ketat dilakukan pihaknya di sekitar sempadan.
Menurutnya, pergerakan penyeludup di sebelah negara jiran tidak kelihatan tetapi ada pergerakan dari dalam negara ekoran terdapat barang penyeludupan ditinggalkan di lokasi-lokasi tertentu.
“Mereka tinggalkan barang di tiang-tiang elektrik yang nombor tiang elektrik itu menjadi petunjuk kepada ahli sindiket untuk mengambil barang penyeludupan,” ujarnya. – UTUSAN










