Penjara Reman P. Pinang masih amalkan SOP ketat  - Utusan Malaysia

Penjara Reman P. Pinang masih amalkan SOP ketat 

PRESIDEN IPSI, Kamaruddin Abdullah (kiri) dan Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail (kanan) meninjau sumbangan daripada IPSI untuk kegunaan kakitangan serta banduan di perkarangan Penjara Reman Pulau Pinang, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. -UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penjara Reman Pulau Pinang masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mencegah penularan Covid-19 walaupun tiada kes baharu wabak berkenaan dilaporkan di situ sejak 10 hari lalu.

Pengarahnya, Mohamad Jusoh Ismail berkata, sehingga kini tiada pergerakan keluar masuk banduan dibenarkan di penjara berkenaan dan pihak penjara juga telah memohon supaya semua kes perbicaraan melibatkan banduan di mahkamah ditangguhkan.

“Kakitangan penjara juga masih memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika bertugas atau berurusan dengan banduan.

“Situasi Covid-19  di dalam penjara telah terkawal dan sejak 10 hari lalu tiada kes baharu wabak berkenaan dicatatkan melibatkan banduan di sini,” katanya ketika ditemui di pekarangan penjara selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) di sini semalam.

Yang turut hadir menyerahkan sumbangan tersebut Presiden IPSI, Kamaruddin Abdullah.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang bermula 15 Oktober sehingga 11 November lalu ekoran peningkatan kes Covid-19.

PKPD itu membabitkan penutupan jalan dan sekatan jalan raya di tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer dan seramai 2,298 banduan selain tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai dengan jumlah sebanyak 610 orang terlibat.

PKPD berkenaan ditamatkan pada 11 November lalu selepas penilaian risiko dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Mohamad Jusoh, pada masa ini Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah yang dibuka di dalam penjara berkenaan masih diletakkan dalam keadaan bersedia.

“Semua banduan yang dijangkiti telah pulih sepenuhnya, namun situasi wabak berkenaan di dalam penjara berkenaan masih dalam pemantauan KKM,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau berterima kasih kepada semua pihak terutama petugas KKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu pihak penjara sepanjang PKPD dilaksanakan.

“Sehingga kini kami masih menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, kami amat hargainya dan sumbangan ini akan diagihkan untuk kegunaan kakitangan dan juga banduan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.