Peniaga mengeluh rokok dikenakan cukai - Utusan Malaysia

Peniaga mengeluh rokok dikenakan cukai

Muhammad Afiz Rosli, menunjukkan rokok yang dijual di kedai runcit milik keluarganya di Kampung Ulu Melaka, Langkawi semalam. - UTUSAN/Zaid Mohd Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Para peniaga di pulau peranginan ini mengeluh selepas rokok tidak lagi dikategorikan sebagai barangan bebas cukai bermula tahun hadapan seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, kelmarin.

Peniaga mendakwa, jualan rokok akan terjejas teruk dengan pengumuman tersebut dan diburukkan lagi dengan kekurangan pelancong berkunjung di pulau ini berikutan penularan Covid-19.

Salah seorang pekerja kedai barangan bebas cukai di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jack Chin, 37, berkata, dia percaya peniagaan rokok di sini akan terjejas dan pendapatan hasil jualan rokok dijangka merosot selepas ini.

Menurutnya, sebelum ini, rokok merupakan antara barangan yang banyak dibeli oleh pelancong apabila berkunjung pulau bebas cukai ini.

“Kalau harga rokok sama dengan tanah besar, pelancong pun sudah tentu tidak mahu membelinya lagi,” katanya di sini semalam.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, kerajaan akan mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai bermula tahun hadapan.

Seorang pelancong, Azizan Abdul Razak, 38, dari Ipoh, Perak, berkata, kebiasaannya mereka yang gemar merokok tidak akan melepaskan peluang membeli pelbagai jenis jenama rokok yang dijual dengan harga murah di pulau bebas cukai ini.

“Golongan peniaga akan terkesan apabila pelancong tidak berminat lagi membeli rokok di sini untuk dibawa pulang kerana harganya akan menjadi lebih mahal,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Rokok Elektronik (DVPM), Syed Azaudin Syed Ahmad menyambut baik langkah kerajaan mengenakan cukai ke atas rokok elektronik kerana dapat mengatasi masalah produk haram yang berbahaya dan tidak mengikut standard industri.

“Banyak aduan mengenai pihak yang menjual produk rokok elektronik secara tidak bertanggungjawab.

“Kami mengalu-alukan pengumuman itu kerana ini adalah langkah pertama ke arah yang positif untuk memperkenalkan peraturan sesuai tentang industri rokok elektronik.

“Langkah selanjutnya adalah mengembangkan peraturan yang jelas dan holistik bagi industri ini agar dapat beroperasi ke arah lebih baik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN