Pengeluaran bersasar tidak adil - Utusan Malaysia

Pengeluaran bersasar tidak adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan disaran meneliti semula pengeluaran bersasar Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disifatkan tidak adil bagi rakyat termasuk peniaga kecil.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebahagian besar orang ramai kurang berpuas hati dengan jumlah pengeluaran simpanan itu yang tidak mencukupi bagi menampung kos kehidupan seharian dalam mendepani pandemik Covid-19.

Peniaga kuih, Mohd. Al-Faizal Hashim, 34, berkata, inisiatif itu sepatutnya dibuka kepada semua pencarum yang terjejas teruk termasuk peniaga berskala kecil sepertinya.

“Namun, kerajaan mungkin boleh melakukan tapisan rapi bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dibenar mengeluarkan simpanan.

“Bagi saya, jumlah kecil pengeluaran ini memang tidak mencukupi terutama bagi peniaga kecil yang memerlukan wang untuk pusingan modal dan kos sampingan lain,” kata bapa kepada dua anak itu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 kelmarin, kerajaan mengumumkan tiga inisiatif kepada pencarum KWSP antaranya dibenar mengeluarkan simpanan Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Selain itu, pengeluaran i-Lestari dalam Akaun 2 sejak April lalu sebanyak RM500 sebulan sehingga 12 bulan dan penurunan kadar caruman minimum KWSP pekerja daripada 11 kepada sembilan peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan.

Sementara itu kakitangan swasta, M. Razif Moksin, 39, berkata, tindakan kerajaan perlu adil kepada semua golongan terutama yang amat memerlukan bantuan kewangan.

“Selain 600,000 golongan bersasar yang diberi kebenaran mengeluarkan simpanan itu, terdapat pencarum lain yang terjejas teruk dan hanya ‘nyawa-nyawa ikan’. Mereka juga perlu dibantu bagi mewujudkan kesamarataan hak sebagai pencarum KWSP,” katanya.

Peniaga makanan, Muhammad Syafiq Afnan, 28, turut kecewa apabila hasratnya untuk mengeluarkan simpanan dalam jumlah besar tidak kesampaian.

“Peniaga kecil seperti saya kini hanya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Pengeluaran Akaun 1 amat penting bagi kegunaan kecemasan sepanjang musim pandemik ini termasuk melunaskan tunggakan hutang sedia ada,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN