Di negara ini, buah betik sering kali dijadikan pencuci mulut selepas makan dek rasanya yang manis dan menyegarkan.
Dalam industri kecantikan antarabangsa pula, khasiat semula jadi buah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, yang bukan sahaja sebagai makanan tetapi produk kecantikan.
Isi, biji mahupun kulit betik mempunyai pelbagai kebaikan untuk kecantikan dalaman dan luaran tubuh, sekaligus menjadikannya bahan semula jadi yang sangat berharga.
Jenama produk kecantikan dari Greece, Fresh Line antara yang menggunakan ekstrak betik dalam rejim kecantikan.
Pengarah Pemasaran, Giota Ntarachani berkata, betik sukar didapati di Greece kerana ia bukan buah tempatan dan tidak dapat tumbuh secara semula jadi dalam iklim Mediterranean.
Namun, menyedari potensi besar buah tropika itu, dia dan kumpulan penyelidikannya menjalankan penyelidikan bagi meneroka potensi buah berkenaan untuk kegunaan penduduk tempatan.
“Kami terinspirasi dengan masyarakat Asia yang menggunakan betik dalam rutin penjagaan kulit secara tradisional.
“Itulah yang mendorong kami untuk mengkaji dan akhirnya memasukkan betik sebagai bahan utama dalam rangkaian produk kecantikan kami”, ujarnya.
Enzim dalam betik membantu menanggalkan sel kulit mati secara lembut, menjadikan kulit lebih cerah, licin dan segar.
Produk berasaskan betik yang dikembangkan oleh Fresh Line diformulasi khas untuk individu yang mengimpikan kulit berseri dan bersih secara semula jadi, tanpa bahan kimia.
Kurangkan pigmentasi
Betik dikatakan mampu mencerahkan kulit secara semula jadi dengan kaedah mengangkat sel kulit mati.
“Enzim yang terdapat dalam betik bertindak sebagai agen menanggalkan sel-sel kulit mati dengan lembut dan mengurangkan kesan pigmentasi.
“Hasilnya, kulit kelihatan lebih sekata dan berseri tanpa iritasi,” katanya.
Selain itu, betik juga terkenal dengan sifat anti-penuaan.
Kandungan vitamin C dan E yang tinggi menjadikannya antioksidan semula jadi yang hebat dalam melawan radikal bebas yang merupakan punca utama kerosakan kulit dan penuaan pramatang.
Penggunaan berterusan produk berasaskan betik mampu membantu mengurangkan garis halus dan mengekalkan keremajaan kulit.
Tidak cukup dengan itu, betik juga berfungsi sebagai pelembap semula jadi.
Kandungan air yang tinggi serta nutrien penting lain menjadikan kulit lebih anjal, lembut dan sihat.
Ia sangat sesuai untuk individu yang mempunyai kulit kering atau kusam, kerana mampu mengembalikan kelembapan dan kesegaran kulit secara mendalam.
Bagi mereka yang mengalami masalah jerawat pula, betik turut menawarkan penyelesaian yang lembut namun tetap berkesan.
Ia mengandungi sifat antiradang semula jadi yang membantu mengurangkan kemerahan, bengkak dan iritasi akibat jerawat.
Bahkan, penggunaan betik juga dapat membantu menghaluskan parut jerawat dan mempercepat proses pemulihan kulit secara menyeluruh.
Fresh Line menawarkan dua produk penjagaan wajah yang menggunakan betik sebagai bahan utama iaitu krim dan serum wajah untuk melengkapkan rejim kecantikan wanita.-UTUSAN










