NS teliti lokasi sesuai laksana projek udang galah berimpak tinggi - Utusan Malaysia

NS teliti lokasi sesuai laksana projek udang galah berimpak tinggi

BAKRI Sawir (kiri) mendengar penerangan Dr. Mohamad Rafie (tiga, dari kiri) mengenai program Pertanian Pinggir Bandar Hidroponik Nutrient Film Technique (NFT) di Ampangan, di sini hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti beberapa lokasi sesuai untuk dilaksanakan projek ternakan udang galah bernilai tinggi susulan pembentangan Belanjawan 2021, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, antara lokasi yang sesuai yang boleh dijalankan projek tersebut adalah di daerah Jelebu dan Kuala Pilah.

“Minggu hadapan, satu perbincangan akan diadakan bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk melihat lokasi projek yang sesuai. Sekarang ini, memang ada banyak kolam penternakan udang galah di Kuala Pilah tetapi di Jelebu juga ada beberapa tempat yang berpotensi untuk dilihat dan majukan.

“Udang galah ini memerlukan kawasan sekitar yang sesuai, di Sungai Timun banyak udang galah tapi itu liar, tapi untuk penternakan ia memerlukan kawasan seperti di Kuala Pilah dan Jelebu lagipun di Jelebu ada Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, di situ juga banyak udang galah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Pertanian Pinggir Bandar Hidroponik Nutrient Film Technique (NFT) di Ampangan, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini berkata, beberapa inisiatif utama bagi sektor pertanian dan industri makanan akan dilaksanakan seperti pelaksanaan projek pertanian dan penternakan bernilai tinggi dengan peruntukan RM100 juta.

Ia melalui kerjasama kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan penternakan udang galah di Negeri Sembilan.

Tambah Bakri lagi, ketika ini terdapat kira-kira 43 penternak udang galah terdapat di negeri ini dengan 28 daripadanya berada di daerah Kuala Pilah.

“Pada tahun lalu kita mengeluarkan kira-kira 64.66 tan metrik udang galah dan memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar udang galah utama di negara ini,” katanya.

Sementara itu pada majlis berkenaan, sebanyak 150 set hidroponik NFT bernilai RM75,000 akan diserahkan kepada 150 buah keluarga dalam kumpulan sasar di DUN Ampangan yang telah pun dikenal pasti.

Menurut Dr. Mohamad Rafie, kesemua mereka yang terpilih untuk menerima set hidroponik itu terdiri daripada mereka yang berada dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan berminat untuk mengusahakannya.

“Semasa berdepan masalah pandemik Covid-19 ketika ini, kebanyakan bantuan termasuk daripada kerajaan Negeri Sembilan adalah berbentuk bantuan tunai dan makanan.

“Hari ini, kita melancarkan bantuan yang membolehkan kumpulan sasar yang dibantu menerima peralatan ini untuk menggunakannya secara berterusan bagi mengurangkan kos keperluan makanan secara berterusan khususnya sayur-sayuran,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.