"NGO, individu tidak mungkin bantu sampai bila-bila’' - Utusan Malaysia

“NGO, individu tidak mungkin bantu sampai bila-bila’’

AHMAD SHUKRI YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh: FAHMI FAIZ dan KU SYAFIQ KU FOZI

KUALA LUMPUR: “Mustahil ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang boleh menghulur bantuan kepada asnaf secara konsisten sampai bila-bila.”

Penegasan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff sebagai menjawab tohmahan kononnya institusi zakat ‘tidak buat kerja’.

Orang ramai ketika penularan pandemik Covid-19 ini yang mengakibatkan ramai terjejas pendapatannya, mula memperkatakan tentang peranan pusat zakat negeri dan pihak-pihak berkaitan bantuan yang didakwa tidak menjadi pihak pertama yang turun padang membantu orang susah, sebaliknya ia dilakukan oleh NGO termasuk pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Menurut Ahmad Shukri, setiap pusat zakat seluruh negara telah melaksanakan tanggungjawab membantu golongan yang memerlukan. Namun, kelemahan mempromosikan gerak kerja telah menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi itu.

“Pusat-pusat zakat setiap negeri telah melaksanakan tanggungjawab secara agresif. Tapi mungkin dari sudut promosi, cara menghebahkan kerja-kerja, itu mungkin ada kekurangan di situ yang harus diperbaiki.

“Kita menghormati individu seperti ikon-ikon tertentu, yang turun padang. Mereka buat mengikut kemampuan yang ada kepada mereka. Tapi kena ingat satu perkara.

“Biasanya yang mereka buat itu ialah bantuan sekali sahaja atau one-off. Sekali sahaja mereka tolong. mustahil ada satu NGO atau individu yang boleh pantau sampai bila-bila, tak mungkin,” katanya.

Sebaliknya beliau berkata, institusi zakat terbukti telah menghulur bantuan secara konsisten, sehingga golongan yang dibantu benar-benar berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Di pihak Baitulmal, mereka kalau bantu sesetengah keluarga ini, bantu sampai bila-bila. Sampai keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Umpamanya komitmen di Wilayah Persekutuan ini sendiri, ada 35,000 keluarga yang konsisten menerima bantuan Baitulmal,” katanya.

Dalam pada itu, CEO MAIWP, Datuk Akbar Samon turut mengakui terdapat kelemahan dalam usaha promosi institusi zakat, sehingga mengakibatkan gerak kerja mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Ada pihak yang mungkin membantu dengan jumlah ribuan ringgit, tetapi mereka mempunyai follower yang ramai, berita itu tersebar luas. Ada pihak yang menyalurkan jutaan ringgit tetapi ia tidak disambut oleh masyarakat atau netizen. Maka berita itu tidak tersebar,” katanya.

Justeru, beliau berkata MAIWP kini berusaha memanfaatkan semaksimum mungkin kuasa media massa sebagai jentera hebahan gerak kerja mereka.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya