Melaka Gateway: Saya mahu tinggalkan legasi untuk rakyat, negara - Utusan Malaysia

Melaka Gateway: Saya mahu tinggalkan legasi untuk rakyat, negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Apa yang penting bagi saya adalah memastikan projek ini bukannya ‘gajah putih’ dan saya perlu buktikan projek ini juga bakal menjana pendapatan walaupun ia belum terlaksana sepenuhnya.”

Itu kenyataan dikongsikan oleh pengasas projek penambakan laut bernilai RM43 bilion Melaka Gateway, Datuk Michelle Ong yang ditamatkan Kerajaan Negeri Melaka, baru-baru ini.

Michelle berkata, beliau tidak menjangkakan dalam usaha ke arah membangunkan projek mega itu, wujud pelbagai masalah, halangan dan cabaran untuk melaksanakannya.

Katanya, walaupun perit, beliau percaya itu adalah hakikat perlu diterima asalkan projek tersebut dapat memberikan manfaat khususnya kepada rakyat di Melaka dan negara.

“Apa yang saya perlukan ketika ini ada kepercayaan dan dukungan daripada keluarga, rakan sekerja, para pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Melaka Gateway adalah projek yang telah saya labur sepenuh hati dan jiwa selama beberapa tahun ini. Saya telah bercakap dengan ramai pelabur yang komited untuk melabur berbilion ringgit sebab mereka percaya bahawa saya mampu melaksanakannya dan menjadikannya suatu projek yang gemilang serta berpotensi untuk dilihat semua orang.

“Bagaimanapun, saya tidak memahami kenapa susah sangat untuk orang lain berkongsi visi sama seperti saya pada saat saya begitu bersungguh-sungguh untuk membawa manfaat lebih besar untuk rakyat Malaysia?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai berkongsi luahan terhadap projek Melaka Gateway yang diasaskannya, bagaimanapun tidak berjalan seperti yang dirancang apabila wujud beberapa halangan untuk membangunkannya.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial syarikat swasta seluas 246.4 hektar yang terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. Setakat ini, sebanyak RM700 juta dibelanjakan sejak awal pembangunannya pada 2014.

Bagaimanapun, 3 Oktober lalu, Kerajaan Negeri Melaka menamatkan perjanjian penambakan laut projek itu bersama syarikat pemaju milik Michelle iaitu KAJ Development (KAJD) Sdn. Bhd.

Menyorot kepada bagaimana tercetusnya idea Michelle membangunkan Melaka Gateway, katanya, ia bermula selepas beliau dan ahli keluarga berjaya membina empayar syarikat sehingga menjana pendapatan berbilion ringgit selama empat dekad dengan pengeksportan ke negara-negara luar seperti Australia, Asia, Amerika Selatan dan Timur Tengah.

Katanya, dengan pencapaian tersebut seiring dengan peningkatan usia – yang mungkin menjadi saat-saat bersaya bagi orang lain – namun Michelle mahu mencipta lebih banyak peluang untuk generasi akan datang.

Menurut beliai, ceritanya bermula selepas dia ke pusat membeli-belah dan melihat beberapa anak muda yang menjual DVD dan peralatan komunikasi sedangkan mereka mempunyai potensi yang lebih besar.

“Justeru, saya hadir dengan satu impian untuk membina Melaka Gateway yang mana saya percaya jika membangunkannya, ia akan memberi gambaran yang cerah untuk generasi
akan datang.

“Saya mahu meninggalkan legasi untuk negara ini dan rakyatnya untuk membuktikan bahawa sebagai rakyat Malaysia kita harus berani meletakkan impian yang bukan sekadar impian.

“Ada banyak sebab lagi kenapa saya patut menjadi orang yang bertanggungjawab meneruskan projek ini dan paling penting adalah ingin membuat perbezaan yang akan memanfaatkan rakyat dan negara. Keuntungan untuk diri sendiri sahaja tidak menarik minat saya sebab saya sudah memperoleh semua itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya