Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR [email protected]
PUTRAJAYA: Dua kes disiasat membabitkan penggunaan perihal dagangan palsu atas jenama ‘Milo’ susulan pemeriksaan ke atas 881 premis kedai makan dan restoran di seluruh negara.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi pemeriksaan itu dijalankan 7 hingga 27 Oktober lalu.
Katanya, pemeriksaan dilakukan selepas aduan pengguna diterima berkaitan penyataan palsu pada menu makanan dan minuman yang diperihalkan peniaga atau restoran seperti minuman jenama Milo atau Nescafe tertera pada menu.
“Ini kerana minuman yang diberikan peniaga adalah daripada jenama lain dengan kualiti berlainan daripada dikehendaki pengguna. Perlakuan ini jelas menunjukkan penggunaan perihal dagangan palsu pada barangan atau makanan yang ditawarkan.
“Penyataan pada menu makanan sama ada di meja atau dinding restoran adalah satu bentuk perihal dagangan yang dirujuk pengguna untuk mendapatkan maklumat sebelum memesan sesuatu makanan dan minuman,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. – UTUSAN ONLINE










