Kerana duit lama RM2.05, pelajar rugi RM10,540 - Utusan Malaysia

Kerana duit lama RM2.05, pelajar rugi RM10,540

E. SUNDRA Rajan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Teruja kononnya akan mendapat RM50,000 kerana berjaya menjual duit lama berjumlah RM2.05, seorang remaja lelaki terpaksa berputih mata apabila hangus RM10,540 ditipu sindiket penipuan.

Pelajar berusia 18 tahun itu pada mulanya ditanya oleh ‘pembeli mat salleh’ selepas mengiklankan sekeping not lama RM2 dan lima keping syiling satu sen di laman sosial Instagram miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, mangsa kemudian telah berkenalan dengan suspek yang mendakwa warga Amerika Syarikat dan pengumpul wang lama. 

“Selepas berbual, suspek menawarkan untuk membeli wang kertas RM2 dan lima keping duit syiling satu sen kepunyaan mangsa pada harga RM50,000.

“Suspek kemudian telah memberikan butiran palsu pembayaran kepada mangsa melalui pesanan WhatsApp kononnya sebagai bukti pembelian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sundra Rajan berkata, tidak lama selepas itu, mangsa dihubungi individu tidak dikenali mendakwa daripada Bank Negara Malaysia dan memintanya membayar cukai atas transaksi berjumlah RM50,000 berkenaan disebabkan transaksi dibuat dari luar negara.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa telah melakukan 15 transaksi pembayaran keseluruhannya berjumlah RM10,540 ke dalam dua nombor akaun bank yang diberi,” katanya.

Tambah beliau, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati tiada transaksi wang seperti yang didakwa telah dimasukkan ke dalam akaunnya lalu membuat laporan polis. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali serta menyemak terlebih dahulu nombor akaun yang meragukan.

“Semakan boleh dibuat melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi check scammers ccid supaya dapat mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. 

Tambahnya, aplikasi mudah alih itu juga membolehkan orang ramai menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya