Kebajikan nelayan Muar tidak pernah diabai - Utusan Malaysia

Kebajikan nelayan Muar tidak pernah diabai

KAMARUDDIN Arshad (kiri) menunjukkan laporan dalam media sosial yang mendakwa Persatuan Nelayan Kawasan Muar sering mengabaikan kebajikan nelayan di Muar. - FOTO/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kebajikan nelayan di daerah ini tidak pernah diabaikan apatah lagi dianaktirikan memandangkan masalah dan nasib mereka sentiasa diberikan perhatian utama.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, Kamaruddin Arshad berkata, pihaknya menerima dakwaan segelintir nelayan yang mendakwa tidak mendapat peruntukan untuk membeli jaring baharu sehingga membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jelas Kamaruddin, isu yang berlaku berpunca apabila nelayan berkenaan memohon peruntukan bagi membeli jaring baharu selepas mendakwa kira-kira 20 rawan jaring miliknya hilang baru-baru ini.

“Kelewatan memberikan peruntukan bukanlah disebabkan persatuan enggan membayar kehilangan barang itu, tapi ia masih dalam peringkat siasatan. Walhal nelayan itu juga baru membuat laporan pada pihak kami dua hari lepas.

“Ini adalah prosedur di mana PNK Muar perlu menyiasat nelayan berkenaan dan pekerjanya. Bukan tiada kes nelayan yang sengaja membuang jaring mereka demi menuntut elaun untuk membeli yang baharu. 

“Sekiranya siasatan selesai dijalankan dan kehilangan itu bukanlah akibat kecurian tapi kerana kecuaian nelayan itu sendiri, kita akan beri pula tempoh masa untuk mereka mencari dahulu. Sekiranya gagal, barulah kita boleh teruskan kepada kaedah tuntutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kamaruddin, perkara itu memerlukan masa untuk membuat pembayaran apatah aduan itu baru sahaja dikemukakan pada dua lalu.

“Perkara ini memang ambil masa, jadi mustahil dalam tempoh dua hari selepas laporan dibuat, siasatan dah selesai dan bayaran dah boleh diberikan? 

“PNK Muar begitu kecewa dengan tohmahan nelayan itu apabila dia turut membuat aduan kepada Ahli Parlimen Muar dan menyebabkan perkara ini menjadi isu di akhbar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan tindakan seorang ahlinya yang membuat laporan akhbar berbahasa Cina mendakwa persatuan itu seolah-olah mengabaikan kebajikan dirinya.

Menurutnya, PNK Muar tidak pernah mengabaikan laporan dibuat oleh anak buahnya termasuklah isu tuntutan berikutan baru-baru ini sahaja kerana persatuan amat telus dalam membayar elaun kehilangan jaring kepada nelayan terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya