fbpx

4 Disember 2020, 3:38 am

  TERKINI

Kanak-kanak lemas tergelincir dalam longkang

MUHAMMAD DANISH YUSMADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Seraya, Pinang Tunggal, Tikam Batu di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Muhammad Danish Yusmadi dipercayai tergelincir ke dalam longkang ketika sedang bermain dengan rakannya.

Mangsa kemudian dihanyutkan air deras sebelum tersangkut di bawah simen penutup longkang.

Penduduk yang menyedari kejadian bertindak menyelamatkan mangsa dengan mengeluarkannya dari longkang tersebut.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Ibu mangsa, Siti Zubaidah Md. Zain, 47, berkata, sebelum kejadian anak bongsu daripada empat beradik itu menonton televisyen sementara dia berada di dalam bilik untuk menunaikan solat Zuhur.

“Sebaik selesai solat, saya dapati dia sudah tiada di dalam rumah dengan televisyen dan kipas angin dalam keadaan terpasang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, tidak lama kemudian rakan anaknya datang ke rumah memaklumkan bahawa Muhammad Danish lemas di dalam longkang.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati beberapa orang penduduk berusaha membawa keluar anak saya dari longkang,” ujarnya.

Menurutnya, Muhammad Danish merupakan seorang anak yang ceria dan manja yang mana kehilangannya merupakan ujian yang sangat berat buat dia sekeluarga.

“Ujian ini memang berat buat saya sekeluarga, namun semua ini adalah ketentuan-Nya yang perlu kami terima dengan reda,” katanya.

Tambahnya, jenazah Muhammad Danish Yusmadi masih berada di Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat.

“Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Paya Kota Kuala Muda sebaik sahaja urusan bedah siasat selesai untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN