JOHOR BAHRU: Insan gelandangan sekitar bandar raya ini bukan memilih untuk hidup merempat di tepi jalan, sebaliknya mereka tiada pilihan setelah diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.
Seorang gelandangan yang mahu dikenali Wong, 50, berkata, dia kini memilih hidup di tepi jalan setelah ditamatkan sebagai pekerja kontrak di Singapura sejak penutupan pintu sempadan pada Mac lalu.
Katanya, dia tiada pilihan untuk hidup gelandangan kerana wang simpanan sudah habis malah motosikal miliknya sebelum ini terpaksa dijual untuk menanggung kehidupan.
“Saya bukan tidak mahu kerja, saya mahu. Tetapi banyak syarikat kini ambil pekerja asing dan ada pula tidak mengambil lagi pekerja kerana ingin mengurangkan kos.
“Sedangkan saya masih mampu untuk bekerja dan bersedia untuk sebarang kerja jika diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia ditemui selepas Program Kasih Gelandangan anjuran Persatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kasih (I-Kasih) di Jalan Tun Razak di sini semalam.
Menurut Wong, dia sebelum ini memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 sebulan selama lebih 20 tahun hidup mencari makan di Singapura namun keadaan berubah susulan pandemik Covid-19.
Seorang lagi gelandangan, P. Joseph Rajan, 51, berkata, dia kini amat memerlukan pekerjaan kerana tidak sanggup lagi hidup meminta simpati orang ramai dan pertubuhan kebajikan.
“Saya boleh berbahasa Inggeris dan mempunyai kelulusan sijil pengurusan hotel di samping mempunyai pengalaman serta pernah bekerja sebagai penolong pengurus hotel di Singapura.
“Jangan tuduh kami malas bekerja. Kami bukan hendak makan, tetapi mahu kerja,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua I-Kasih, Zuraini Tahir berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat tertentu dalam usaha mengambil gelandangan untuk bekerja.
Beliau juga mengalu-alukan syarikat yang berminat mengambil mereka supaya dapat menghubunginya dengan segera.
“Kita sedaya-upaya membantu mereka dan bukan sahaja memberikan sumbangan makanan tetapi juga mengeluarkan mereka daripada kepompongan kemiskinan,” katanya. – UTUSAN