Johor bagi bantuan one-off untuk 30,000 petugas barisan hadapan  - Utusan Malaysia

Johor bagi bantuan one-off untuk 30,000 petugas barisan hadapan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Johor 2021 memberikan bantuan one-off RM200 kepada setiap 30,000 petugas dengan jumlah peruntukan RM6 juta.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, di samping itu bantuan am negeri juga dinaikkan daripada RM200 kepada RM 300 sebulan membabitkan 5,700 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Malah seramai 10,000 pesakit akan diberikan bantuan perjalanan kepada pesakit kronik yang berdaftar di bawah Skim Bantuan Am Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan peningkatan dari RM20 ke RM50.

“Dalam usaha meringankan kesusahan masyarakat yang memerlukan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif Bantuan Bank Makanan kepada golongan miskin bandar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Hasni menambah Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan B40 di negeri ini akan diteruskan dan seramai 200,000 isi rumah dijangka menerima manfaat skim itu.

Beliau juga memaklumkan penggiat industri pelancongan menerima tempias pengumuman Belanjawan Johor 2021 dengan insentif dengan jumlah sebanyak RM5 juta iaitu membabitkan pemberian insentif one-off RM1,000 kepada pemandu pelancong yang berdaftar di negeri ini.

“Juga diumumkan pemberian bantuan insentif one-off kepada 16 persatuan pelancongan negeri dengan peruntukan sebanyak RM320,000,” katanya.

Selain itu, Hasni mengumumkan pemberian insentif one-off RM2,000 kepada 586 agensi sektor terbabit.

“Selain itu, diumumkan pengecualian pembayaran duti hiburan bagi taman-taman tema dan pusat hiburan keluarga dan terakhir sekali pengecualian pembayaran lesen perniagaan kepada 1,031 syarikat berkaitan pelancongan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.