'Jika ada yang tolak, itu sebab politik' - Annuar - Utusan Malaysia

‘Jika ada yang tolak, itu sebab politik’ – Annuar

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan segelintir wakil rakyat parti itu yang mahu menolak Belanjawan 2021 sebagai bermotifkan politik.

Namun, beliau enggan pula menggelarkan mereka sebagai pengkhianat rakyat kerana tidak menyokong usul tersebut, malah ia adalah hak peribadi setiap ahli Parlimen yang dibenarkan.

“Jika ada yang tolak, itu lebih kerana politik, tetapi tindakan mereka agak tidak sesuai dalam keadaan rakyat susah sekarang,” jelasnya ketika ditanya pendirian UMNO dalam isu tersebut.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas menyampaikan surat tawaran ruang niaga kepada 66 usahawan pelbagai kategori di Presint 14 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tidak timbul istilah pengkhianat jika ada kalangan wakil BN berkeras tidak mahu sokong Belanjawan 2021.

“Saya tidak suka panggil nama tidak baik misalnya pengkhianat, mereka semua orang baik, sedia bahas bagi cadangan dan mereka ada hak kerana dipilih sendiri oleh rakyat,” tegasnya.

Bagaimanapun, Annuar memberi bayangan kemungkinan kesemua 42 Ahli Parlimen BN tiada masalah untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 25 November ini.

Ini kerana hampir semua wakilnya terlibat aktif semasa sesi perbahasan dengan memberi teguran dan penambahbaikan dalam beberapa isu panas termasuk lanjutan tempoh moratorium.

“Juga tentunya tumpuan isu pengeluaran Akaun 1 daripada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Kalau ditolak, maka sia-sialah teruk berbahas lebih dua minggu,” tambah beliau.

Justeru, Annuar berpendapat tiada sebab untuk wakil BN tidak mengundi Belanjawan 2021 kerana perkara dibangkitkan itu masih boleh dilaksanakan pihak kerajaan selepas diluluskan.

Beliau sendiri merujuk pengalaman UMNO dan BN ketika pernah menjadi pembangkang selama hampir 22 bulan yang tetap menyokong usul dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya