Isu banjir berulang di Hulu Langat dibawa ke perhatian Kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Isu banjir berulang di Hulu Langat dibawa ke perhatian Kerajaan Pusat

AHMAD Marzuk (empat dari kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir bagi pihak Yadim di Kompleks Tarbiyah Darul Hidayah, Hulu Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permasalahan banjir teruk di sekitar Hulu Langat, Selangor yang kerap berulang kali akan dibawa ke perhatian Kerajaan Pusat bagi tindakan lebih menyeluruh.

Jaminan itu diberi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary ketika ditemui di Kompleks Tarbiyah Darul Hidayah, Hulu Langat dekat sini hari ini.

“Kerajaan Pusat mahu menyelesaikan isu banjir ini yang sudah lama berlarutan setiap kali hujan lebat dalam tempoh sekejap hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit,” jelasnya.

Beliau menambah, beberapa penyelesaian telah dirangka oleh kerajaan untuk jangka panjang termasuk membaik pulih sepenuhnya sistem perparitan bagi mengatasi limpahan air.

Namun untuk jangka pendek ujar Ahmad Marzuk, pihaknya lebih fokus kepada penyaluran segera segala bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas setelah selamat dipindahkan.

“Saya sudah minta semua agensi di bawah jabatan ini untuk aktif menjaga kebajikan rakyat apabila berlaku kejadian sebegini kerana mangsa hilang pendapatan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan bagi pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebelum mengunjungi sendiri kediaman beberapa penduduk di pekan itu.

Bantuan 300 pek makanan bernilai RM35,000 itu turut disumbangkan Yayasan Taqwa, Yayasan Waqaf, Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (Jawhar) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia.

Beliau kemudian turut menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana di Pusat Khidmat Komuniti Batu 6 di Bangi Lama yang dihadiri Penyelaras Parlimen Bangi, Mohd. Shafie Ngah.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Waqaf, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin; CEO Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Zabidi Nassan dan Ketua Pengarah Jawhar, Ruslan Said. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya