Unimap di kedudukan ke- 207 terbaik Asia - Utusan Malaysia

Unimap di kedudukan ke- 207 terbaik Asia

Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berada pada kedudukan ke-207 terbaik Asia, meningkat empat tangga berbanding kedudukan ke-211 tahun lalu seperti yang diumumkan Quacquarelli Symonds (QS).

Berdasarkan laporan QS Asia Rankings 2021, Unimap juga diiktiraf dalam kelompok 31 peratus universiti terbaik di Asia dan 20 universiti terbaik di negara ini.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, pencapaian pada tahun ini mengambil kira data dan prestasi Unimap bagi tahun 2019, justeru pihaknya menyasarkan prestasi yang lebih cemerlang bagi pengukuran data tahun hadapan.

“Kita menyedari persaingan yang cukup sengit dalam kalangan universiti-universiti terutama universiti yang lebih berpengalaman, namun jika dinilai prestasi Unimap untuk tempoh lima tahun yang lalu, kita telah berjaya melonjak 14 kedudukan keseluruhannya.

“Berdasarkan penilaian tahun 2017, Unimap berada di kedudukan ke-221, manakala berdasarkan aspek peratusan pula, Unimap memperbaiki kedudukan dari kelompok 53 peratus universiti terbaik di Asia kepada kelompok 31 peratus universiti terbaik di Asia.

“Saya percaya pencapaian ini adalah cerminan tahap komitmen dan dedikasi warga kerja universiti dalam meletakkan fokus terhadap hasil produktiviti dalam semua aspek terutama akademik, penyelidikan dan penerbitan serta pengantarabangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

QS Asia Rankings 2021 menilai 650 universiti utama di Asia berdasarkan 11 indikator antaranya reputasi akademik, kebolehpasaran graduan, kualiti penyelidikan, pengantarabangsaan di dalam kampus serta kerjasama dengan institusi antarabangsa di seluruh dunia.

Unimap sebelum ini telah berjaya mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Penarafan Bintang (QS Stars Rating) bagi kemudahan pembelajaran dalam talian  selain turut berjaya tersenarai pada kelompok 800 hingga 1,000 universiti terbaik di dunia berdasarkan QS World University Rankings 2021.

Mengulas lanjut, R. Badlishah berkata, berdasarkan pelaporan QS itu juga, Unimap berbangga apabila diberi klasifikasi amat tinggi dalam elemen ‘research intensity’ dengan pengiktirafan sebagai universiti ‘specialist’ manakala indikator rujukan pelajar fakulti merupakan kekuatan utama bagi Unimap apabila menduduki kedudukan ke-123 di Asia bagi indikator tersebut.

Katanya, Unimap akan terus berusaha untuk memperkasakan pelajar dengan pelbagai kemahiran penting yang diperlukan untuk mereka berjaya dalam pembelajaran dan dapat memasuki dunia industri dengan jayanya.

“Selain itu, Unimap juga akan menetapkan matlamat-matlamat baharu terutama dengan mengambil kira indikator yang masih rendah seperti bilangan sitasi, bilangan kakitangan dengan Kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) serta pertukaran pelajar.

“Keterlihatan Unimap dalam QS Asia Rankings ini juga diharap akan membuka ruang untuk universiti menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam kalangan universiti dan industri dunia yang boleh disifatkan sebagai usaha penanda aras amalan universiti yang telah berjaya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya