Finas perlu ambil langkah drastik - Utusan Malaysia

Finas perlu ambil langkah drastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Siti Athirah Dzulkifly dan Aida Rizmariza

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu mengambil langkah drastik membanteras isu penyelewangan dana kerajaan dalam kalangan industri seni khususnya perfileman.

Penerbit, Datuk A Aida melihat penyelewangan dana Finas tidak sepatutnya berlaku malah dia turut mengakui kecewa dengan sikap “rakannya” yang terlibat dalam isu tersebut.

“Senarai hitamkan mereka, kalau boleh dedahkan siapa disebalik 44 syarikat tersebut. Sudah sampai masanya mereka ini diberi pengajaran memadangkan tindakan mereka ini secara langsung memberi impak negatif kepada industri kreatif.

“Mungkin Finas sendiri boleh sediakan dana yang ada mengikut kemampuan sesebuah syarikat. Tidak boleh pukul sama rata, sebab itu kalau ada sistem pengkelasan kita boleh kenal syarikat ini.

“Saya memang suka melihat lebih ramai penerbit memeriahkan industri, tetapi bagi mereka yang hanya mengambil kesempatan untuk mendapatkan dana kerajaan untuk disalah gunakan rasanya kewujudan itu lebih kepada menjahanamkan dunia penerbitan kita,”katanya.

Penerbit terkenal itu mengulas pendedahan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berikutan terdapat RM30 juta dana filem diseleweng beberapa pemain industri demi kepentingan peribadi.

Sementara itu, pengarah Erma Fatima menyatakan rasa tidak setuju dan membidas semula kenyataan Finas yang disifatkan tidak wajar menyalahkan pemain industri.

Malah, kata Erma, Finas sepatutnya melihat semula tindakan di peringkat autoriti yang mungkin memberikan dana tersebut kepada pihak yang salah dan bukan kepada sasaran yang tepat.

“Finas ada autoriti mengagihkan dana, tetapi siapa sasaran mereka itu? Adakah orang yang mereka pilih itu benar-benar layak? Pernah buat filem? Betul ke hargai seni?

“Jangan babitkan satu industri sebagai perosak jika Finas sendiri yang salah membuat agihan. Ada yang tiba-tiba dapat geran buat filem walhal mereka tak pernah terlibat pun dalam industri. Kalau betul, sila keluarkan senarai,” katanya.

Dalam pada itu, aktor Bront Palarae menganggap perkara ini tiada kolerasi dengan isu bayaran rendah kepada kelompok pelakon kerana ia lebih berkait rapat dengan isu kurang apresiasi selain tiada amalan standard dalam industri.

“Walau bagaimanapun, isu ini memberi isyarat lebih jelas terhadap masalah lain iaitu integriti penerbit, proses penilaian dalam meluluskan sesuatu projek.

“Jika ia melibatkan dua tiga buah projek, ia masih boleh diterima sebagai ralat, namun apabila sampai ke angka 44 projek, ini masalah serius kerana melibatkan wang rakyat.

“Saya tidak mahu ulas berlebihan kerana saya percaya Finas tentu sudah ada plan untuk menangani masalah ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN