Bukti kematangan semua ahli Parlimen - PM - Utusan Malaysia

Bukti kematangan semua ahli Parlimen – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sokongan semua ahli Parlimen sehingga Belanjawan 2021 diluluskan membuktikan kematangan mereka dalam membuat  keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan  kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,   Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada  negara dan sokongan itu membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan  perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar. 

Kata Perdana Menteri, ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.  

“Saya tersentuh dengan pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19. 

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua  ahli Parlimen terutamanya ahli-ahli Parlimen PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang  telah menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementeriannya yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan  2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.  

Beliau menjelaskan, penambahbaikan itu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak  termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang  Undang-undang Perbekalan 2021. 

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa  bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. 

“Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya