Bantuan kepada Zoo Negara hadapi masalah kewangan - Utusan Malaysia

Bantuan kepada Zoo Negara hadapi masalah kewangan

AZHAR Jais bersama keluarga berkunjung ke Zoo Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Luar dan Taman Negara (Perhilitan) menyalurkan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara yang menghadapi masalah kewangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan Perhilitan, kerajaan juga telah memanjangkan secara spesifik diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan kepada Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) termasuk Zoo Negara di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

Menurutnya, kementerian melalui Perhilitan sangat prihatin dalam membantu Zoo Negara yang terjejas berikutan PKP kerana memahami pendapatan Zoo Negara bergantung kepada hasil kutipan tiket, jualan-jualan produk dan perkhidmatan.

“Zoo Negara juga telah berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM10.6 juta sejak Januari hingga September lalu melalui rangkaian media sosialnya. Sumbangan yang diterima adalah dalam bentuk bantuan kewangan, makanan haiwan dan pelbagai program yang ditawarkan oleh Zoo Negara.

“Bantuan kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh PKP sebaliknya bantuan telah disalur sejak awal penubuhan Zoo Negara. Setakat ini kerajaan telah menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK7),” jelas kenyataan itu.

Zoo Negara dimiliki oleh Malaysia Zoological Society (MZS) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan berfungsi sebagai entiti perniagaan.

Operasi ZPT perlu diperkukuhkan supaya dapat meningkatkan sumber pendapatan, lebih berdaya saing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Perhilitan dalam pada itu berharap Zoo Negara dapat menguruskan dana yang diterima secara berhemah dan telus.

“Kita mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada syarikat atau orang perseorangan bagi membantu mengurangkan bebanan kos makanan serta penyelenggaran kepada ZPT yang terjejas,” jelas Perhilitan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya