GAZA: Sebuah bas milik Doktor Tanpa Sempadan (MSF) rosak akibat serangan udara Israel di Gaza City, manakala seorang kakitangannya cedera, menurut badan amal perubatan itu semalam.
MSF berkata, bas berkenaan membawa 10 petugas kemanusiaan ketika serangan Israel mengenai sebuah kenderaan yang menjadi sasaran, hanya kira-kira dua meter dari bas itu pada 13 September lalu.
Menurut MSF, bas berkenaan jelas dikenal pasti sebagai kenderaan milik organisasi itu dengan logo besar MSF tertera di bahagian bumbung.
“Sekali lagi, tentera Israel menunjukkan sikap tidak menghiraukan keselamatan petugas kemanusiaan dan perubatan,” kata MSF.
Organisasi itu berkata, tiada kawasan di Gaza yang selamat ketika ini dan menggesa orang awam, petugas kesihatan serta pekerja kemanusiaan dilindungi.
MSF turut menggesa kenderaan perubatan dan kemanusiaan yang mempunyai tanda pengenalan jelas tidak dijadikan sasaran serangan.
Menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin, pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel mengorbankan 1,372 rakyat Palestin dan mencederakan 4,659 yang lain.
Sejak 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 174,000 lagi cedera akibat serangan Israel di Gaza.
Serangan itu turut menyebabkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah berkenaan musnah.- AGENSI










