fbpx

18 Januari 2021, 6:12 pm

  TERKINI

Banjir: Bayi 16 bulan nyaris lemas ketika berpindah

SURIATI Yusof (tengah) bersama dua anaknya termasuk Adib Arshad Abdul Halim, 16 bulan, (kanan, didukung anggota bomba) yang hampir lemas selepas terjatuh dari kerusi di ruang tamu rumahnya di Kampung Petaling di Kuala Nerus, Terengganu yang dinaiki air separas paha. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Bayi lelaki berusia 16 bulan nyaris lemas selepas terjatuh dari kerusi di ruang tamu rumahnya di Kampung Petaling di sini yang ditenggelami air separas paha.

Ibunya, Suriati Yusof, 44, berkata, kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu berlaku ketika mereka 11 beranak bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong dengan bantuan bot bomba.

Katanya, mangsa, Adib Arshad Abdul Halim yang merupakan anak bongsunya ditinggalkan seketika bersama anak kelapan yang berusia tiga tahun di kerusi di ruang tamu manakala dia mengambil peluang berkemas.

“Ketika itu suami membantu menguruskan anak sulung berusia 30 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masuk ke dalam bot bersama anak-anak lain.

“Tiba-tiba saya mendengar anak memberitahu adiknya jatuh dan tengok dia sudah lemas, mujurlah anggota bomba ada di rumah lalu segera menyelamatkan bayi saya,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Bukit Guntong hari ini.

Ibu kepada sembilan anak itu lega, walaupun Adib Arshad lemas kira-kira 30 saat tetapi tiada sebarang kecederaan dialami bayi tersebut.

Suriati yang merupakan peniaga ayam gunting di pasar malam berkata, ini merupakan kali pertama kali rumah mereka ditenggelami air. – UTUSAN