KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) tetap berpendirian untuk menolak Belanjawan 2021 jika tiga syarat yang diletakkan tidak dipenuhi kerajaan.
Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abdul Samad berkata, syarat tersebut adalah melibatkan kepentingan rakyat iaitu melanjutkan moratorium, membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 serta membatalkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
“Jika ada beberapa pindaan dalam perkara ini, barulah Amanah menyokong Belanjawan 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, semua ahli Parlimen Amanah dilaporkan sepakat tidak menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas.
Dalam pada itu, Khalid berkata, peruntukan untuk Jasa wajar dibatalkan kerana tidak memberi kepentingan kepada masyarakat buat masa ini yang terhimpit dengan beban kewangan susulan pandemik Covid-19.
“Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) harus menjalankan tugas mereka dan tidak menghidupkan kembali unit yang tidak menyumbang apa-apa,” katanya. – UTUSAN










