Agong hargai ahli parlimen sokong Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Agong hargai ahli parlimen sokong Belanjawan 2021

AL SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021, semalam. 

Sultan Abdullah dalam titahnya mengalu-alukan sokongan ahli Dewan Rakyat bagi meluluskan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19. 

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara. 

“Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19,” menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seri Paduka Baginda menambah, selaku Ketua Negara, Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini. 

Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat. 

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

“Marilah kita sama merenung firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Sural AnNisa, ayat 85 yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Dan sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang buruk nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan ingatlah Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya