MUAR: Nelayan dan penduduk di sekitar daerah ini bakal menerima manfaat melalui usaha pelepasan udang galah oleh Jabatan Perikanan negeri.
Jabatan itu dalam satu kenyataan menjelaskan, pelepasan benih udang galah sebanyak 350,000 ekor dilaksanakan secara bersasar dan membabitkan jumlah kos sehingga RM100,000.
“Program ini bertujuan memastikan stok udang galah di Sungai Muar berkekalan demi mengelakkan kepupusan sumber sedia ada.
“Pertambahan stok ini penting untuk meningkatkan ekonomi nelayan setempat sepanjang Sungai Muar di samping menjadi aktiviti riadah kepada pemancing. Apabila stok udang ini meningkat, pendapatan nelayan juga akan meningkat,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, Sungai Muar sememangnya menjadi destinasi terkenal bagi habitat udang galah berikutan mendapat permintaan tinggi.
“Melalui program ini, udang galah dewasa akan dapat bertelur dan dibiakkan oleh pengusaha pembenihan dan benih itu kemudiannya dijual kepada pengusaha akuakultur.
“Sebanyak lima lokasi dipilih untuk menjayakan usaha ini iaitu di Pangkalan Nelayan Jorak, Pangkalan Nelayan Grisek, Pangkalan Nelayan Kampung Renchong, Pangkalan Nelayan Kampung Lenga dan Pangkalan Nelayan Bukit Kepong.
“Program kali kedua ini merupakan lanjutan program-program yang telah dijalankan di Sungai Muar seperti Program Kempen Melarang Pelepasan Spesies Ikan Asing Ke Sungai Muar, Program Inventori Sungai Muar, Program Pelepasan Ikan dan Udang Galah di Sungai Muar,” jelasnya.
Tambahnya, usaha berkenaan turut memberi kesan positif berikutan itu adalah kaedah untuk memelihara dan memulihara pelbagai hidupan sungai yang semakin pupus selain menjana pendapatan penduduk. – UTUSAN ONLINE










