25 menara komunikasi baharu dibina di Kedah - Utusan Malaysia

25 menara komunikasi baharu dibina di Kedah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 25 menara komunikasi baharu akan dibina di seluruh negeri ini yang dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, pada masa sama, perhatian turut diberikan terhadap perkhidmatan jalur lebar talian tetap dengan 4,736 sambungan masih lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Menurutnya, perkhidmaran tersebut dibangunkan melalui projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan dijangka siap penghujung tahun ini.

“Di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pula rangkaian optik akan diperluaskan kepada 91,393 premis di Kedah yang akan memberi akses kepada perkhidmatan berkelajuan gigabit.

“Untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, sejumlah 105 menara baharu akan dibina manakala sebanyak 1,162 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada teknologi 4G. Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dari tahun ini hingga 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) mengenai langkah serta kemajuan yang telah dilakukan serta dicapai dalam bidang komunikasi dalam sesi pertanyaan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam sesi penggulungan selepas itu, Wan Romani menjelaskan, satu daripada 25 menara tersebut akan turut menyelesaikan masalah capaian internet di Kampung Tembak B, Kuala Ketil.

“Salah satu daripada menara tersebut akan dibina di Kampung Charok Beras yang berada dalam radius tiga kilometer dari Kampung Tembak B.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Kedah dan Perlis turut turun padang dan bertemu pengadu pada Ahad lalu. Insya-Allah dengan usaha dijalankan, masalah di situ dapat diatasi,” katanya.

Mengenai masalah liputan dihadapi penduduk Kampung Kongsi 14 di Bukit Selambau yang turut mendapat liputan media sebelum ini, Wan Romani memaklumkan SKMM bersama empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U-Mobile telah menghasilkan pelan untuk menyediakan liputan di sekitar kampung tersebut.

Utusan Malaysia pada 16 November lalu melaporkan dua penuntut universiti, Mohammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi, 21, yang terpaksa memanjat pokok bagi memasang router WiFi di Kampung Tembak B, Kuala Ketil semata-mata untuk mengikuti kelas secara atas talian.

Terdahulu pada 20 September lalu, akhbar ini turut melaporkan mengenai usaha penduduk di Kampung Kongsi 14 yang mengambil inisiatif membina menara telekomunikasi sendiri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya