243 ditahan termasuk ingkar memakai pelitup muka - Utusan Malaysia

243 ditahan termasuk ingkar memakai pelitup muka

Ismail Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis berjaya menahan 243 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 74 kes kerana tidak memakai pelitup muka dan 48 pula gagal patuhi arahan penjarakan fizikal.

“Sementara 40 lagi tidak menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, 20 kes rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan baki 56 individu atas beberapa kes lain.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, 217 individu telah dikompaun manakala 26 orang pula direman, hasil usaha Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang membuat 60,038 pemeriksaan.

Ujarnya, sebanyak 2,873 pasukan melibatkan 13,390 anggota membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ia meliputi 3,573 pasar raya, 4,965 restoran, 1,656 penjaja, 1,256 kilang, 3,525 bank, 648 pejabat kerajaan, 1,118 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air dan 99 terminal pengangkutan udara.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa Operasi Benteng semalam berjaya menahan 32 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong serta merampas 10 buah kenderaan darat.

Sebanyak 280 sekatan jalan raya (SJR) dibuat melibatkan 214 dalam Op Penawar disertai tentera polis dan Rela, 57 SJR Op Benteng polis serta sembilan SJR Agensi Kawalan Sempadan Negara.

Menyentuh Ops Sanitasi Awam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam, sebanyak 35 operasi meliputi 11 zon merah, lima zon jingga, tujuh zon kuning dan dua zon hijau.

“Ia melibatkan 12 operasi di Sabah, sembilan di Melaka, empat di Pulau Pinang, tiga di Perak, tiga di Selangor serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Labuan,” jelasnya.

Bercakap mengenai kuarantin wajib, beliau melaporkan 10,711 individu sedang menjalani proses itu manakala 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 64,096 lagi dibenarkan pulang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula jelasnya, membuat 654 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di seluruh negara semalam.

Ini membabitkan 458 peruncit, 163 pemborong dan 33 pengilang di samping 753 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dengan hanya satu premis diberi nasihat kerana tidak patuh.

“Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli keperluan,” tegas Ismail Sabri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya