fbpx

18 Januari 2021, 6:13 pm

  TERKINI

15 ahli ‘Geng Alavandan’ rampas treler, bongkah tembaga ditahan

AZHAR Hashim (tengah) menunjukkan treler bersama muatan bongkah tembaga yang ditemui semula selepas dirampas oleh 'Geng Alavandan' di Kulim hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Alavandan’ selepas menahan 15 anggota termasuk perancang utama yang terlibat dengan kejadian rampasan sebuah treler bersama muatan 60 bongkah tembaga bernilai RM300,000 di Bukit Chong, Sungai Karangan dekat sini pada 15 November lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, rampasan yang terancang itu turut melibatkan pemandu dan kelindan treler terbabit yang juga merupakan anggota kumpulan itu.

Menurutnya, pemandu treler itu yang berusia 45 tahun bersama seorang kelindan berusia 35 tahun membuat laporan polis dengan mendakwa mereka telah ditahan sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah van di kawasan Bukit Chong, Sungai Karangan di sini.   

Katanya, kejadian itu didakwa berlaku pada pukul 1.24 tengah hari ketika mereka dalam perjalanan dari sebuah kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani ke sebuah kilang di  Sungai Karangan.

“Pemandu itu memaklumkan empat lelaki terbabit yang berpakaian seperti penguat kuasa Kastam telah mengarahkan mereka menaiki van dan meninggalkan lori itu di bahu jalan.

“Selepas dua jam  berada di dalam van mereka berdua dilepaskan dan apabila mangsa kembali semula ke tempat kejadian mendapati treler tersebut bersama muatan telah hilang,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil soal siasat terhadap pemandu dan kelindan treler  serta seorang penyelia kilang di Sungai Karangan didapati menimbulkan keraguan.

Sehubungan itu, tambahnya, polis kemudian melakukan siasatan secara terperinci dan melakukan beberapa serbuan di sini, Sungai Petani dan Bukit Mertajam dan Butterworth di Pulau Pinang. 

“Serbuan itu bermula pada 16 November sehingga semalam dan polis berjaya menahan 15  lelaki berusia 21 sehingga  62 tahun termasuk pemandu treler tersebut dan perancang utama rampasan treler berkenaan yang berusia 52 tahun.

Menurutnya, kejayaan menahan 15 lelaki terbabit berjaya menemui semula 60 bongkah tembaga dan treler terlibat.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.