Tunai tuntutan UMNO, beri jawatan TPM kepada Zahid - Utusan Malaysia

Tunai tuntutan UMNO, beri jawatan TPM kepada Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menunaikan tuntutan UMNO jika ingin mengukuhkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, ia bukanlah tuntutan yang keterlaluan memandangkan UMNO adalah penyumbang terbesar dalam pembentukan kerajaan hari ini.

“Sebenarnya tuntutan UMNO tidaklah keterlaluan, cuma Muhyiddin sebagai Perdana Menteri harus berjiwa besar dalam kepemimpinannya.

“Hendak mengawal 113 ahli Parlimen supaya terus menyokongnya, Muhyiddin harus bermusyawarah dengan menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan hati terbuka.

“Jika jawatan Timbalan Perdana Menteri itu yang diinginkan UMNO, beri sahajalah tanpa meletakkan syarat, ini menunjukkan Tan Sri Muhyiddin benar-benar ikhlas dalam mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah beliau, jika tuntutan itu ditunaikan tanpa syarat, ahli UMNO akan menuruti arahan yang dikeluarkan Majlis Tertinggi UMNO selaras dengan konsep wala’ atau ketaatan yang diamalkan selama ini.

Berikutan itu, jelas Mohd. Zainul lagi, Muhyiddin juga tidak perlu memikirkan strategi lain untuk bergabung dengan mana-mana parti lain bagi mengukuhkan kedudukannya itu.

“Kedudukan Muhyiddin sekarang dilihat goyah kerana beliau tidak memenuhi tuntutan UMNO, mereka inginkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Beri sahaja tanpa syarat, malah Ahmad Zahid belum lagi didapati bersalah. Jadi alasan untuk tidak memberikan jawatan tersebut kepadanya adalah tidak masuk akal. Dia sebagai Presiden seharusnya dilantik pada jawatan yang tinggi dalam pentadbiran negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN