Tertipu urusan beli kenderaan Singapura - Utusan Malaysia

Tertipu urusan beli kenderaan Singapura

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Hasrat seorang kontraktor hendak memiliki kenderaan terpakai dari Singapura lebur apabila ditipu penjual yang dikenali melalui Facebook.

Akibat daripada urusan jual beli berkenaan, mangsa kerugian RM14,412 selepas memasukkan wang ke dalam dua akaun bank dimiliki individu berlainan.

Kejadian bermula selepas lelaki berusia 53 tahun berkenaan terlihat iklan jualan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang dijual dengan harga RM36,000 pada 3 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi suspek melalui nombor telefon yang tertera dalam iklan untuk memulakan urusan jual beli.

“Penjual tersebut meminta gambar kad pengenalan, lesen memandu, salinan sijil syarikat (SSM) serta penyata bank terkini bagi tujuan pinjaman. 

“Suspek meminta RM2,500 sebagai deposit pembelian kenderaan. Pada 5 Oktober, mangsa membuat bayaran sebanyak RM6,100 ke dalam dua akaun berlainan,” katanya di sini hari ini. 

Ujar Mohd. Wazir lagi, mangsa turut diminta memindahkan wang RM5,812 sebagai bayaran cukai jalan serta RM2,500 untuk pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Beliau menambah, sesudah semua bayaran dibuat, suspek memaklumkan kenderaan tersebut akan dihantar menggunakan khidmat trak tunda.

“Suspek memberi nombor telefon pemandu trak tunda. Apabila dihubungi, pemandu trak tersebut memberi banyak alasan sehingga menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya