MARANG: Marang menjadi daerah pertama di negeri ini yang melaksanakan simulasi khas banjir menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengekang penularan Covid-19.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, inisiatif sama akan diperluaskan ke daerah lain dalam masa terdekat bagi memperkemaskan operasi menyelamat dari semasa ke semasa.
Katanya, simulasi bermula dengan proses awal perpindahan penduduk yang terjejas banjir kemudian dibawa menggunakan bot dan lori ke pusat pemindahan sementara.
“Alhamdulillah, pematuhan berlaku dengan baik walaupun dalam SOP baharu ini, jumlah mangsa dalam bot atau lori dikurangkan bagi mengelak kesesakan.
“Sebelum ini muatan lori adalah seramai 40 orang, kini hanya 14 orang. Saringan kesihatan turut dijalankan di pusat pemindahan sementara dengan mengasingkan individu yang demam atau mempunyai gejala Covid-19 untuk pemantauan petugas Jabatan Kesihatan,” katanya.