Telinga seperti pakai anting-anting akibat terbakar - Utusan Malaysia

Telinga seperti pakai anting-anting akibat terbakar

Iqram Hashim bersama ibunya, Suraya Abdul Manan di rumah mereka di Felda Terkis, Jengka 23.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: “Telinga saya seakan seperti pakai anting-anting dan mulut menjadi kecil kesan komplikasi terbakar ketika berusia dua tahun.”

Itulah luahan adik Iqram Hashim, 11, ketika ditemui Utusan Malaysia dikediamannya di Felda Terkis Jengka 23 di sini semalam.

Namun, biarpun keadaan dirinya sedemikian rupa, dia reda dengan apa yang berlaku dan tidak malu untuk ke sekolah seperti kanak-kanak lain.

“Kesan terbakar ini memang sakit kerana kulit peha, tangan, dada, menjadi tegang. Kedua-kedua belah tangan pula tidak boleh diluruskan.

“Saya mahu membuat pembedahan tetapi tiada wang kerana ibu, Suraya Abdul Manan seorang ibu tunggal dan tidak bekerja pula,” katanya.

Iqram berkata, dia bertekad belajar bersungguh-sungguh agar cita-citanya menjadi doktor pakar kulit tercapai.

Menceritakan kejadian menimpa anaknya, Suraya berkata, dalam kejadian pada 26 November 2011, dia membakar sampah kira-kira pukul 4 petang di belakang rumahnya di Felda Jengka 23.

“Tanpa diduga timbunan sampah itu tiba-tiba meletup. Iqram ketika itu berusia dua tahun yang berada kira-kira satu meter disambar api.

“Bajunya terbakar dan Iqram menjerit kesakitan meminta tolong. Saya yang panik guna air paip memadam api dengan pertolongan jiran,” katanya.

Menurutnya, Iqram mendapat rawatan selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur.

Tambahnya, pembedahan kulit perlu dilakukan sebelum anaknya berusia 13 tahun bagi mengelakkan dia rendah diri apabila remaja.

“Sebagai ibu tunggal tidak bekerja dan menumpang di rumah ayah, saya tidak mampu mengeluarkan kos pembedahan kira-kira RM20,000,” katanya.

Pihak yang ingin menyumbang boleh menghubungi Suraya di talian 011-8845209 atau menerusi akaun Maybanknya, 156141643641. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya