Saranan tidak buat pilihan raya - Utusan Malaysia

Saranan tidak buat pilihan raya

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usah jalankan sebarang pilihan raya dalam masa terdekat.

Demikian saranan Kementerian Kesihatan terhadap pihak berkuasa bagi mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun sekiranya tidak dapat dielakkan, kementerian mengesyorkan supaya tiga larangan yang perlu dilaksanakan dalam menjalankan pilihan raya.

“Tidak boleh rentas negeri, daerah dan tidak boleh balik kampung, tiada perhimpunan beramai-ramai selain tiada kunjungan ke rumah.

“Kementerian Kesihatan mengesyorkan supaya pilihan raya tidak dijalankan bagaimanapun, jika perlu juga pilihan raya, kita perlu melihat kepada perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan 23 November ini manakala tarikh undi awal, 1 Disember.

Abdul Ghani turut dipetik sebagai berkata, SPR menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak melaksanakan sebarang pilihan raya negeri termasuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 230 kluster Covid-19 dilaporkan sejak pandemik itu melanda negara dan sebanyak 62 kluster atau 30 peratus berkaitan tempat kerja. 

Katanya, sehingga semalam sebanyak 37 kluster berkaitan tempat kerja yang masih aktif termasuk dua kluster baharu diumumkan.

“Kementerian Kesihatan amat berterima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada majikan dan syarikat swasta bersama membantu mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan warga kerja.

“Tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan terhadap pekerja membolehkan pengesanan kes positif tidak bergejala dalam kalangan warga kerja dan seterusnya membantu kementerian menjalankan aktiviti kesihatan awam dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, ini sekali gus dapat membendung penularan jangkitan dalam sesebuah komuniti dan seterusnya melindungi individu daripada kumpulan berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak.

“Selain tindakan proaktif majikan, pekerja juga mempunyai peranan yang besar dalam membantu membendung penularan di tempat kerja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Di samping itu, warga kerja perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri ketika berada di tempat kerja. Persekitaran tempat kerja yang bersih dan selamat juga hendaklah dijadikan kebiasaan harian bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya