Remaja larikan dua tabung derma di restoran nasi kandar  - Utusan Malaysia

Remaja larikan dua tabung derma di restoran nasi kandar 

PERBUATAN seorang remaja melarikan dua tabung derma dari sebuah restoran nasi kandar di Guar Chempedak, Yan yang dirakamkan CCTV tersebar di beberapa kumpulan WhatsApp sejak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang remaja lelaki melarikan dua tabung kutipan derma selepas berpura-pura memesan air minuman di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Guar Utama, Guar Chempedak di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.21 malam itu, suspek masuk ke dalam restoran dan memesan sebungkus teh ais dengan seorang pekerja di kaunter bayaran.

Pekerja restoran, Muhammad Najmi Said, 22, berkata, dia terus bangun untuk membuat air kerana dua lagi rakan sekerja sibuk di dapur.

“Saya yang mahu menyerahkan bungkusan minuman terkejut apabila mendapati remaja itu telah tiada sebelum seorang pelanggan memberitahu suspek bergegas keluar selepas mengambil dua tabung derma di kaunter bayaran,” katanya di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian memanggil rakan sekerjanya untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati remaja terbabit melarikan dua tabung derma berkenaan.

“Satu tabung derma adalah untuk tujuan pembinaan dewan di Masjid Al-Wusta Guar Chempedak manakala satu lagi untuk tujuan baik pulih Surau Al-Faizin dekat sini,” ujarnya.

Menurut Muhammad Najmi, kedua-dua tabung itu dipercayai mengandungi wang derma yang banyak kerana pemerhatiannya mendapati ramai pelanggan menderma setiap kali masuk ke premis tersebut untuk menjamu selera. 

“Selepas memaklumkan tentang kejadian kepada pemilik restoran, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan lewat malam tadi,” jelasnya.

Satu rakaman CCTV memaparkan tindakan seorang remaja lelaki melarikan tabung derma dari sebuah restoran tersebar di beberapa kumpulan WhatsApp sejak semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji yang dihubungi berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.