Rakyat Malaysia rugi RM405.7 juta angkara Macau Scam - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia rugi RM405.7 juta angkara Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hampir RM405.7 juta rakyat Malaysia rugi hasil daripada penipuan Macau Scam dalam tempoh tiga tahun ini.

Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah tersebut adalah melibatkan 6,552 kes dicatatkan sejak tahun 2018 hingga September lalu.

Empat negeri kekal mencatatkan kerugian tertinggi iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bagi tempoh tiga tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebanyak RM144.19 juta kerugian dicatatkan melibatkan 1,829 kes penipuan Macau Scam untuk tempoh sembilan bulan bermula Januari hingga 30 September lalu.

Katanya, jumlah itu meningkat kira-kira RM22.34 juta berbanding tahun lalu iaitu RM121.85 juta dengan sebanyak 2,466 kes dicatatkan manakala bagi tahun 2018 pula adalah RM139.78 juta (2,257 kes).

“Selangor mencatatkan kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM48.4 juta dengan 288 kes manakala Kuala Lumpur adalah kes tertinggi direkodkan iaitu 339 kes dan rugi RM34.3 juta.

“Selain itu, Johor merekodkan kerugian kira-kira RM15.4juta dengan 238 kes dan Pulau Pinang pula RM7.1 juta (139 kes),” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Zainuddin, seramai 885 individu ditahan di seluruh negara dipercayai terlibat dalam kegiatan Macau Scam.

Ujarnya, tangkapan tertinggi adalah di Kuala Lumpur iaitu seramai 188 individu diikuti dengan Selangor (157 orang), Johor (106 orang) dan Negeri Sembilan (100 orang).

“Kesemua mereka ditahan dalam serbuan yang dijalankan sejak Januari hingga 30 September lalu,” ujarnya.

Menurut Zainuddin, hasil siasatan mendapati kegiatan ini bukan sahaja didalangi sindiket yang berangkaian di negara ini malah di seluruh dunia.

“Mereka ini bergerak dalam banyak peringkat, ada yang berperanan sebagai ‘admin’, mencari nombor telefon serta sebagainya.

“Sebab itu apabila kita serbu ‘calling centre’ di sini namun kita tidak dapat kesan dalangnya dipercayai yang berpusat di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×