fbpx

22 Oktober 2021, 1:40 am

  TERKINI

Pertanian, pelancongan jadi tumpuan ECERDC di Terengganu

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempengerusikan mesyuarat ECERDC di Kuala Terengganu baru-baru ini . Sebelah beliau ialah Baidzawi Che Mat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian dan pelancongan sebagai bidang pertumbuhan seterusnya di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Baidzawi Che Mat berkata, usaha itu sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kemandirian negara dalam pengeluaran makanan susulan pandemik Covid-19 di samping memacu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut.

Katanya, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara dalam talian di sini baru-baru ini.

“ECERDC telah mengenal pasti pelbagai inisiatif untuk meningkatkan sektor pertanian di Terengganu dan strategi penting bagi pertumbuhan perniagaan tani yang transformatif dan inklusif adalah melalui Model Perniagaan Syarikat Induk ke arah mempercepatkan pemodenan, mempelbagaikan dan membawa kepada peningkatan skala sektor pertanian di wilayah ini.

“Transformasi sosiokonomi pasca pandemik Covid-19 di Terengganu akan dipercepatkan menerusi projek-projek pembangunan berimpak tinggi dengan kedua-dua sektor bakal menarik pelaburan swasta ke negeri ini sekali gus, membawa manfaat kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan dan keusahawanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baidzawi berkata, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, ECERDC telah melaksanakan beberapa projek ternakan di Terengganu antaranya Pusat Penternakan Kambing Telaga Papan dan Pusat Pembiakbakaan dan Inovasi Bebiri Kuala Berang di samping projek Agropolitan Besut-Setiu.

Sementara itu, katanya, bagi meningkatkan aktiviti pelancongan pulau, ECERDC sedang melaksanakan beberapa projek menaik taraf infrastruktur seperti pembinaan jeti di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas dan pembinaan telaga tiub di Pulau Lang Tengah.

“Kerajaan melalui ECERDC membuat pelaburan besar dalam projek-projek infrastruktur untuk meningkatkan sektor pelancongan dan walaupun projek-projek yang dibangunkan penting tetapi, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menambah baik lagi kemampanan sektor ini. 

“Selain membangunkan kemudahan pelancongan di Terengganu, ECERDC turut mencipta destinasi seperti jambatan angkat Terengganu yang menjadi mercu tanda ikonik dan merekodkan kedatangan seramai 700,000 pengunjung dalam tempoh Ogos hingga Disember tahun lalu,” katanya.

Menurut Baidzawi, Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang menarik di ECER dengan sasaran pelaburan sebanyak RM26 bilion di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (2018-2025).

Katanya, daripada jumlah itu, Terengganu memperoleh pelaburan komited sebanyak RM1.53 bilion daripada 14 projek dengan bakal mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan baharu dan kira-kira 300 peluang keusahawanan untuk rakyat, di samping pelaburan sebanyak RM822 juta yang turut direalisasikan dalam tempoh laporan yang sama. -UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI