Perantau pulang Kelantan kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

Perantau pulang Kelantan kuarantin kendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Golongan perantau yang pulang ke negeri ini dari kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) terutama di sekitar Lembah Klang dinasihati menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selama 14 hari.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pendekatan itu merupakan langkah terbaik dalam usaha memutuskan rantaian pendamik Koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengemukakan beberapa langkah yang perlu diambil oleh golongan perantau bagi memastikan risiko jangkitan diputuskan sebaik mungkin.

“Sekiranya dapat disediakan rumah tumpangan dan sebagainya, ia adalah amat baik. Namun seandainya terpaksa tinggal dalam satu rumah, bolehlah asingkan mereka ke dalam bilik yang mempunyai kemudahan bilik air.

“Bukan itu sahaja, golongan perantau dari kawasan berisiko turut dinasihatkan supaya tidak berada di luar bilik sepanjang tempoh tersebut. Makanan dan minuman hendaklah dihantar ke bilik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu,  sekiranya perlu keluar dari bilik golongan berkenaan diwajibkan memakai pelitup muka dan membuat penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dari ahli keluarga yang lain.

Katanya, sepanjang tempoh kuarantin golongan perantau  tidak dibenarkan menziarahi ahli keluarga yang lain termasuklah ke pusat membeli-belah, masjid dan kedai makan.

“Mereka digalakkan untuk membeli makanan dari kedai makanan atas talian menggunakan khidmat Food Panda atau Grab Food dan membayar menggunakan perbankan secara dalam talian.

“Apa yang lebih penting, jika mereka mula mengalami gejala, datanglah ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk proses saringan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan menyaring semua perantau bergejala yang datang daripada kawasan berisiko dalam masa 14 hari jika bergejala.

Ekoran pengumuman PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang akan berkuat kuasa 14 Oktober, difahamkan sudah ramai individu yang mulai keluar dari kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN