Penduduk PPR Kerinchi diselubungi kebimbangan - Utusan Malaysia

Penduduk PPR Kerinchi diselubungi kebimbangan

PPR Kerinchi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini diselubungi kebimbangan risiko jangkitan Covid-9 walaupun proses sanitasi dan nyah cemar dilakukan di kawasan itu kelmarin.
Apa yang membimbangkan mereka adalah hanya tingkat 14 dan 17 Blok A di PPR tersebut disanitasi dan penduduk belum menerima sebarang notis berhubung penutupan kawasan tersebut.
Tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan perumahan itu semalam mendapati, meskipun semua individu disaring diberikan arahan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan, ia masih mengganggu fikiran penduduk tentang penularan Covid-19 di situ.
Seorang peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Nooriah, 62, berkata, dia meneruskan operasi perniagaan seperti biasa kerana tidak menerima sebarang notis yang mengarahkan kawasan tersebut ditutup buat sementara waktu.
‘Saya sudah lama berniaga di sini dan berasa tidak wajar proses sanitasi hanya melibatkan tingkat 14 dan 17, mengapa tidak satu blok bangunan.
“Keadaan sekarang merisaukan ramai penduduk sekitar dan kami para peniaga mungkin terdedah dengan sebarang risiko,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kenyataan menerusi lama sosial Facebooknya berkata, beliau telah melawat lokasi tersebut bagi melihat keadaan di sana.
“Saya telah berhubung dengan beberapa pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi bertanyakan status bantuan makanan kerana ramai penduduk yang disaring dan dikuarantin.
“Saya difahamkan Majlis Keselamatan Negeri telah mengeluarkan arahan penghantaran makanan. Saya juga memohon agar Pejabat Kesihatan pertimbang sanitasi tambahan seperti yang dimohon penduduk,” katanya.
Difahamkan lapan penduduk di blok berkenaan disahkan positif dan 34 kontak rapat telah disaring dan kini menjalani kuarantin kendiri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN