MKN akan umum PKPB di Klang - Utusan Malaysia

MKN akan umum PKPB di Klang

MOHD. Amin Ahmad Ahya ( tengah) mempengerusikan mesyuarat penyelarasan PKPB Daerah Klang di bilik gerakan negeri bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan perincian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mendapat maklum balas pelbagai agensi dan jabatan sewaktu Mesyuarat Penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Daerah Klang yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya bagi pihaknya pagi tadi.

“Kita telah menyampaikan segala maklum balas dan cadangan berkaitan pelaksanaan PKPB (dengan beberapa ubah suai) kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin secara maya pukul 11 pagi ini.

“Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, MKN di bawah kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKPB Klang.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengadakan saringan bersasar Covid-19 ke kawasan merah sebagai langkah lanjutan bagi mengawal penularan wabak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di Klang.

Menurutnya, keputusan dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di empat daerah berkenaan yang kini diisytiharkan Zon Merah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN