MBSP tahan pemandu lori buang sampah haram - Utusan Malaysia

MBSP tahan pemandu lori buang sampah haram

TANGKAP layar menunjukkan beberapa anggota bomba dilihat sedang cuba memadamkan kebakaran di tapak pembuangan sampah haram di Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.-Gambar Facebook Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ketika sedang leka membuang sampah secara haram di sini, malam tadi.

Difahamkan, ketika ditahan, pemandu tersebut yang tidak didedahkan identitinya bagaimanapun dikatakan tidak berpuas hati dan cuba mengugut kumpulan penguat kuasa terbabit.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud ketika mengesahkan penahanan suspek memberitahu, pihaknya kemudian membuat laporan polis dan berharap tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku terbabit.

“Anggota MBSP mengintip kegiatan ini sejak tiga hari lalu susulan isu pembuangan sampah haram di Mengkuang sebelum ini hingga ada yang terpaksa tidur dalam kereta dan sebagainya.

“Kami diugut dan diancam oleh mereka. Justeru, kami menganggap perbuatan mereka sebagai jenayah terhadap alam sekitar dan akan pastikan kes ini diselesaikan di peringkat mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, pelaku tersebut boleh didakwa di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap, MBSP 1994 kerana membuang sampah secara haram.

Tertuduh boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000 selain dikenakan tindakan di bawah Seksyen 112, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, MBSP telah menggariskan satu Pelan Tindakan Segera yang mengandungi beberapa aspek penting bagi memastikan isu pembuangan sampah haram tidak terus berleluasa.

Katanya, antara yang terkandung dalam pelan itu termasuk penubuhan Bahagian Keselamatan dan Komuniti (BKK) yang terdiri daripada polis bantuan dan warden trafik untuk memantau isu berkenaan.

Selain itu, tambahnya, pemantauan menerusi intipan dan penggunaan teknologi kamera litar tertutup bergerak atau Mobile CCTV juga akan ditingkatkan.

“Pada masa sama, MBSP juga akan menstrukturkan semula sistem pengurusan sampah yang mempunyai ciri-ciri seperti pengalihan sisa, stesen pemindahan moden serta pusat pengalihan untuk pembinaan dan pemusnahan.

“Selain itu, kita akan pastikan khidmat ‘haulier’ atau kontraktor yang berkenaan serta pengilang didaftarkan dalam syarat pelesenan,” ujar beliau. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya