Mangsa tembak terlibat sindiket judi dalam talian - Utusan Malaysia

Mangsa tembak terlibat sindiket judi dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seorang lelaki yang cedera ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Bandar Kinrara baru-baru ini dipercayai terlibat dengan sindiket perjudian dan penipuan dalam talian.

Walau bagaimanapun, peranan mangsa yang bekerja sebagai pakar teknologi maklumat (IT) dengan sindiket tersebut masih dalam siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, susulan kejadian itu, sebanyak 12 individu berusia 30 sehingga 40 tahun berjaya ditahan.

Ujarnya, enam daripada mereka bagaimanapun akan didakwa hari ini.

“Daripada jumlah yang ditahan, lima individu telah kita panggil sebagai saksi manakala seorang lagi diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur kerana menjadi individu dikehendaki.

“Dua suspek utama dikenali sebagai Loo Lai Ming atau Datuk Michael dan Choong Aik Boon (Manco@Roy) bagaimanapun masih diburu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Azam memberitahu, sebanyak 29 tangkapan telah dilakukan susulan insiden tembak seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadi, di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini pada 25 September lalu.

“Siasatan masih giat dijalankan dan kita akan siasat pelbagai sudut termasuk kongsi gelap, peribadi atau lain-lain,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN