BENTONG: Kebiasaannya Restoran Lemang To’Ki yang menjadi antara tarikan di daerah ini pasti penuh sesak dengan orang ramai yang datang menikmati pelbagai juadah terutamanya lemang.
Deretan kereta dan motosikal biasanya memenuhi depan restoran dan sepanjang jalan malah pernah ada pelanggan menaiki helikopter untuk ke restoran itu.
Namun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang memberi kesan kepada restoran popular berasaskan lemang itu yang kini mengalami kekurangan pelanggan mendadak.
Pemilik Lemang To’Ki, Mazlan Ramli berkata, sejak PKPB dilaksanakan di Lembah Klang, pelanggan restorannya berkurang sehingga 80 peratus.
“Memang perniagaan pada masa ini sangat terkesan, kalau dilihat biasanya meja tidak kosong tetapi lihat sahaja kerusi kosong lebih banyak daripada pelanggan.
“Pada masa ini kebanyakan pelanggan yang datang hanyalah dari dalam negeri dan pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mazlan, kekurangan pelanggan memberi kesan kepada pendapatan restoran yang menyaksikan hanya 300 batang lemang dijual sehari berbanding purata 1,000 batang sebelum ini.
Katanya, meskipun terkesan teruk, beliau masih mengekalkan jumlah pekerja seramai kira-kira 50 orang bagi menjaga kebajikan mereka.
“Cuma pada masa ini antara langkah yang kita lakukan bagi mengurangkan kos adalah dengan mengehadkan operasi kedai sehingga pukul 8 malam,” katanya.
Sementara itu pemilik Abam Cendol, Mohammed Afeeq Awaludin berkata, ketiga-tiga cawangan gerai cendolnya di Bentong pada masa ini berdepan pendapatan tidak menentu susulan penularan Covid-19.
“Pada masa ini orang luar kurang masuk Bentong susulan PKPB di Lembah Klang. Dalam berdepan situasi itu, kenalah rajin mencari pasaran pukal,” katanya.










