BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan melangsungkan majlis konvokesyen ke-20 secara maya berikutan peningkatan kes terbaharu Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.
Menurut kenyataan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat universiti itu, istiadat perisytiharan penganugerahan ijazah sempena majlis konvokesyen ke-20 dijadualkan 8 November ini di Dewan Sultan Ibrahim, Kampus Induk UTHM dengan membabitkan penerima Anugerah Ijazah Kehormat, Anugerah Sultan Ibrahim dan Anugerah Pelajaran Diraja.
“Kaedah penganjuran secara maya ini hanya melibatkan kehadiran pegawai kanan UTHM tanpa dihadiri graduan dan ibu bapa serta perlu mematuhi tatacara pengendalian piawai kebiasaan baharu ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Wahid Razzaly akan membuat pengisytiharan penganugerahan dan seterusnya menyampaikan anugerah yang bakal disiarkan secara langsung dalam media sosial rasmi UTHM,” jelas kenyataan itu hari ini.










