Johor pandang serius pusat penyebaran HTM - Utusan Malaysia

Johor pandang serius pusat penyebaran HTM

TOSRIN Jarvanthi (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Jabatan Agama Islam Batu Pahat dalam majlis sumbangan fidyah kepada anak-anak yatim dan miskin dalam jagaan keluarga Johor di Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor memandang serius kewujudan pusat-pusat penyebaran fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini walaupun tahap ancamannya masih terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan bekerjasama dengan polis bagi memantau pergerakan kumpulan tersebut.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua agensi itu turut membabitkan kesediaan untuk menggempur pusat-pusat penyebaran mereka.

“Walaupun ancaman HTM tidak serius tetapi kita tidak boleh berdiam diri. Kita bekerjasama dengan polis Johor untuk gempur habis-habisan pusat HTM.

“Program Mufti yang diadakan bersama masyarakat ini akan digunakan sebagai platform menerangkan dengan lebih jelas berkenaan fahaman HTM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis sumbangan fidyah kepada anak-anak yatim dan miskin dalam jagaan keluarga Johor di sini hari ini.

Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbarnya berkata, pihaknya telah mengenal pasti 45 individu daripada 80 pengikut fahaman itu yang aktif di negeri ini termasuk ketua mereka, Sallahuddin Mashkuri.

Jelas Ayob Khan, gerakan itu melalui risalah yang dikeluarkan mereka menggelarkan negara Islam moden sebagai kufur serta akan memerangi sistem demokrasi.

Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai memberitahu, pihaknya telah mengedarkan risalah berkaitan gerakan HTM di 886 masjid dan 1,279 surau di seluruh Johor sejak bulan lalu.

Menurut beliau, inisiatif itu dibuat bagi memastikan umat Islam khususnya di negeri ini tidak terpengaruh dengan gerakan HTM yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN