KUALA LUMPUR: Idea penubuhan kerajaan perpaduan tidak akan mampu menamatkan polemik perebutan kerusi Perdana Menteri sebaliknya dikhuatiri bakal menimbulkan masalah baharu terutamanya dalam memutuskan sesuatu perkara menerusi Kabinet.
Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, penyelesaian terbaik adalah pembubaran Dewan Rakyat, namun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mungkin membuat keputusan itu berikutan penularan Covid-19.
Katanya, meskipun begitu, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan darurat atas sebab tidak ada parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Ketika darurat, Agong boleh lantik sesiapa sahaja sebagai kerajaan penjaga yang baginda rasakan layak. Tidak semestinya orang politik.
“Apabila keadaan sudah kembali tenang, Covid-19 sudah berjaya dikawal maka barulah disusuli dengan pembubaran Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri interim sebagai langkah segera menamatkan kemelut politik sekarang atau kerajaan mengisytiharkan darurat.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Tengku Razaleigh bebas daripada sebarang kontroversi, berpengalaman luas, tidak mempunyai agenda peribadi dan mampu menarik sokongan bukan Melayu.
“Jika keadaan terus buntu, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat bagi membolehkan kerajaan sementara dibentuk untuk menstabilkan negara,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu Seri Paduka boleh melantik Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk menerajui kepemimpinan negara. – UTUSAN










