Hanya 70 penganjur pasar malam kemuka permohonan niaga - Utusan Malaysia

Hanya 70 penganjur pasar malam kemuka permohonan niaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Hanya 70 daripada keseluruhan 122 penganjur pasar malam di Seberang Perai mengemukakan permohonan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meneruskan aktiviti tersebut sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil jika penganjur yang tidak membuat permohonan baharu untuk tujuan itu dikesan terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, jika penganjur enggan membuat permohonan, MBSP boleh memberikan hak penganjuran kepada pihak lain dengan syarat memenuhi kriteria kelulusan penganjuran tersebut.

Katanya, antara kriteria itu termasuk penganjur atau penggantinya perlu membuat permohonan selain mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MBSP.

Selain itu tambahnya, penganjur juga perlu mendapatkan surat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) ketika memohon untuk pasar malam atau pasar pagi.

“Pada masa sama, pengganti kepada penganjur sedia ada hendaklah terdiri daripada pertubuhan atau persatuan berdaftar dan kelulusan penganjuran kepada pengganti penganjur sedia ada adalah untuk tempoh penguatkuasaan PKP sahaja.

“Kelulusan tersebut akan terbatal secara automatik selepas PKP ditamatkan dan kelulusan penganjuran juga akan diberikan semula kepada penganjur sedia ada selepas itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Rozali, tapak pasar malam atau pasar pagi lama yang telah dipindahkan ke lokasi baharu bagaimanapun tidak membenarkan penggantian penganjur terutama jika penganjur sedia ada sudah beroperasi di tapak sementara atau tapak baharu.

“Dalam hal ini, MBSP menyeru kepada semua penganjur sedia ada khususnya yang belum membuat permohonan supaya berbuat demikian dan berbincang dengan kami sekiranya mempunyai sebarang persoalan berbangkit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya