IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menetapkan hanya 13 jemaah bagi mendirikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid dan surau di Pengkalan Hulu ekoran peningkatan kes Covid-19 di daerah itu.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, arahan itu berkuatkuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bagi solat fardu tidak lebih daripada 13 jemaah yang terdiri daripada imam, bilal dan siak bertugas dan jawatankuasa kariah berumur tidak lebih 60 tahun dengan penjarakan fizikal satu meter antara jemaah
“Solat Jumaat juga tidak lebih 13 orang dan tidak kurang 14 orang termasuk imam, khatib dan jawatankuasa kariah yang berumur tidak lebih 60 tahun dengan menjaga penjarakan fizikal.
“Arahan ini perlu dipatuhi oleh semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di daerah kecil Pengkalan Hulu,” katanya dalam laman Facebook JAIPk hari ini.
Mohd. Yusop berkata, sebarang aktiviti pengimarahan, kelas pengajian dan kemasyarakatan tidak dibenarkan.
Mohd. Yusop berkata, tiga surau yang diberikan kebenaran sementara untuk solat Jumaat sebelum ini iaitu Surau Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18, Surau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu dan Surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Saban tidak lagi dibenarkan mendirikan solat Jumaat.
“Semua pihak terutama ahli kariah masjid, surau diri Jumaat dan surau di daerah kecil Pengkalan Hulu diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan untuk mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya.
Semalam, Perak mencatatkan satu kluster baharu iaitu Bah Pengkalan melibatkan daerah Hulu Perak membabitkan enam kes positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE